APA ITU OXIMEL?






OXIMEL

(Sakanjabīn)

Dalam dunia perubatan, ada pelbagai sistem perawatan dengan pelbagai latar belakang. Kita mungkin sudah terbiasa dengan Perubatan Moden, Perubatan Tradisional Cina dan Perubatan Ayurveda. 

Sebenarnya ada satu lagi sistem perubatan yang jarang diketahui oleh umum, khususnya rakyat Malaysia. Sistem tersebut ialah sistem perubatan yang dimulakan oleh tamadun Yunani dan diteruskan oleh tamadun Arab. Sekarang ia dinamakan Perubatan Yunani (Unani Medicine) di samping beberapa nama lain seperti Persina (Perubatan Ibnu Sina). Perubatan Tradisional Melayu juga menggunakan sistem yang sama. Dalam sejarah perubatan, sistem ini sangat berjasa kerana ia menjadi dasar bagi Perubatan Moden.

Ibnu Sina melalui karya agungnya al-Qānūn fī al-Ṭibb menyatakan bahawa terdapat dua tujuan utama ilmu perubatan iaitu mengekalkan kesihatan dan menghilangkan penyakit. Apa yang unik dalam Persina ialah kedua-dua tujuan itu boleh dicapai melalui pengambilan satu ramuan istimewa yang kelihatan biasa namun sangat bermanfaat. Ramuan yang dimaksudkan ialah oximel atau sakanjabin.

PENGENALAN

Oximel merupakan gabungan dua perkataan iaitu oxy yang bermaksud masam atau asid dan mel yang bermaksud manis atau madu. Perkataan oximel telah di‘arabkan dan disebut sebagai uksūmālī. Perkataan sakanjabin pula berasal daripada bahasa Farsi. Ia terdiri daripada dua perkataan iaitu sirkah yang bermaksud cuka dan an‧gabīn yang bermaksud madu. Kedua-dua perkataan ini digabungkan dan di‘arabkan sehingga menjadi sakanjabīn. Sebahagian penulisan mengesahkan bahawa ramuan oximel yang terdiri daripada cuka dan madu ini dimulakan oleh tamadun Farsi terlebih dahulu, kemudian barulah tamadun Yunani.

Ramuan ini digunakan oleh tokoh-tokoh perubatan terdahulu untuk penjagaan kesihatan dan perawatan penyakit. Antara tokoh penting yang pernah menulis tentang oximel ialah Hippocrates, Galen, Ar-Razi, Ibnu Sina dan Ibnun Nafis.

KATEGORI OXIMEL

Oximel secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu oximel ringkas (simple oxymel) dan oximel kompleks (complex oxymel). Oximel ringkas ialah oximel yang terdiri daripada gabungan bahan masam dan bahan manis sahaja, tiada campuran bahan lain. Oximel ringkas dikenali sebagai sakanjabīn sāżij. Banyak bahan manis yang boleh digunakan, antaranya ialah madu dan gula. Begitulah juga dengan bahan masam, antara bahan masam yang boleh digunakan ialah cuka dan perahan limau. Sekiranya oximel disediakan dengan menggunakan madu sebagai bahan manis, ia dinamakan sakanjabīn ‘asaliyy. Sekiranya bahan manis yang digunakan untuk menghasilkan oximel ialah gula, ia dikenali sebagai sakanjabīn sukkariyy.

Oximel kompleks ialah oximel yang terdiri daripada bahan masam dan bahan manis beserta bahan lain selain kedua-duanya. Antara tujuan utama oximel ringkas dicampurkan dengan bahan lain adalah untuk (1) meningkatkan keberkesanan bahan lain, (2) mengurangkan kesan sampingan bahan lain, (3) mewujudkan fungsi baru yang hanya terhasil melalui campuran oximel ringkas dengan bahan lain dan (4) memperelokkan rasa bahan lain yang kurang enak, sehingga bahan tersebut lebih sedap dan mudah dimakan. Antara contoh oximel kompleks ialah sakanjabīn bużūriyy, sakanjabīn ‘unṣuliyy, sakanjabīn safarjaliyy dan sakanjabīn afsūmāliyy.

MEKANISME FUNGSI OXIMEL

Dalam ilmu sains moden seperti kimia, farmakologi dan farmakognosi, fungsi oximel belum dapat dikenal pasti sepenuhnya. Hal ini menyebabkan oximel tidak digunakan secara meluas dalam pengubatan sepertimana ia digunakan oleh pakar-pakar perubatan Islam terdahulu.

Persina berdiri dengan disiplinnya yang tersendiri sehingga mampu bertapak di pelbagai universiti di Eropah selama ratusan tahun, bahkan kitab al-Qānūn Fī al-Ṭibb dikatakan sebagai kitab rujukan perubatan yang paling lama digunakan dalam sejarah. Dengan disiplin tersebut, pelbagai penjelasan mengenai mekanisme fungsi oximel dinyatakan oleh Ibnu Sina, termasuklah juga tokoh-tokoh lain sama ada yang berbangsa arab atau bukan.

Mekanisme utama bagi oximel ialah keseimbangan sifatnya, iaitu keseimbangan antara sifat sejuk dan panas. Menurut Ibnu Sina, cuka didominasi oleh sifat sejuk, manakala madu didominasi oleh sifat panas. Campuran dan sebatian antara cuka dan madu berdasarkan sukatan dan pengiraan yang tepat mewujudkan keseimbangan pada oximel yang dihasilkan. Sifat panas yang ada pada madu menyebabkan ia mampu melakukan proses-proses yang bersifat katabolik seperti membuka saluran darah yang sempit dan tersumbat serta memecahkan molekul-molekul yang bersifat toksik. Namun, kepanasan madu yang sepatutnya meningkatkan haba tubuh dihalang oleh cuka yang bersifat sejuk. Dengan itu, proses untuk melancarkan perjalanan cecair di dalam tubuh dapat dilakukan tanpa memudaratkan organ-organ.

KEBAIKAN OXIMEL

Oximel secara umumnya bertujuan untuk melancarkan perjalanan cecair tubuh dengan cara membuka saluran yang tersumbat dan memecahkan bahan yang menghalang pergerakan cecair tubuh. Apabila perjalanan tersebut lancar, segala keperluan sel seperti oksigen dan nutrien dapat disampaikan dengan sempurna. Selain itu, kelancaran itu juga menyebabkan sisa-sisa sel seperti karbon dioksida dan sisa nutrien dapat dibuang dengan baik. Fungsi ini digunakan untuk penjagaan kesihatan secara umum untuk semua golongan.

Dalam kes demam, oximel berfungsi menguraikan cecair tubuh yang rosak yang menyebabkan berlakunya demam. Begitulah juga dalam keadaan batuk, oximel akan menguraikan kahak yang ada dalam salur pernafasan dan menolaknya keluar. Untuk pembersihan usus, oximel akan membersihkan saluran penghadaman sekaligus membantu proses penyerapan nutrien dan proses penyingkiran patogen dalam usus.

Oximel digunakan juga dalam beberapa kes kecemasan seperti keracunan, sawan (epilepsi) dan patukan ular. Oximel jika disediakan dalam bentuk minuman dapat menghilangkan rasa dahaga secara efektif berbanding minuman lain.

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Walaupun oximel pada asalnya ialah nutrien biasa iaitu cuka dan madu, beberapa langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil dan diperhatikan. Ini kerana oximel merupakan bahan baru yang bukan lagi cuka dan madu, ia mempunyai fungsi farmakologi yang khusus seperti ubatan lain. Jadi, pengambilan dan pengamalannya mestilah dalam bentuk yang sederhana dan tidak berlebih-lebihan. Apa sahaja bahan yang baik untuk tubuh, jika diambil secara berlebihan akan membahayakan tubuh sepertimana gula dan garam mineral.

Mereka yang menghadapi masalah usus yang krtitikal seperti luka dan buasir seeloknya tidak mengambil oximel, atau diambil secara minimal dan cair. Begitulah juga dengan mereka yang mengalami masalah kritikal pada buah pinggang, pundi kecing dan rahim. Sekiranya oximel diambil secara berlebih-lebihan, ia berpotensi memudaratkan fungsi seksual dan sistem saraf.

PENUTUP

Oximel mempunyai potensi pengubatan yang sangat besar. Walaupun dunia moden hampir-hampir tidak lagi memandangnya, kajian ke atasnya perlu diteruskan. Dengan peralatan canggih dan teknologi moden yang ada sekarang, kajian yang dibuat terhadap oximel pasti menghasilkan pelbagai maklumat baru mengenai fungsi oximel.

Sekiranya oximel mampu dibuktikan sebagai panasea (panacea), maka itu sudah cukup untuk menjadikannya sebagai ubatan utama di samping beberapa ubatan lain, kerana ubat yang terbaik ialah ubat yang paling banyak fungsi penyembuhannya dan paling sedikit kesan sampingannya.


RUJUKAN

1. Al-Qānūn fī al-Ṭibb, Ibn Sīnā
2. Risālah fī al-Sakanjabīn, Ibn Sīnā.
3. Al-Mūjaz fī al-Ṭibb, Ibn al-Nafīs.
4. Al-Ḥāwī fī al-Ṭibb, Al-Rāzī.
5. Al-Masā’il fī al-Ṭibb, Ḥunain bin Isḥāq.

TAMMAT